Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) tidak mempunyai sebarang
masalah dan selamat walaupun dianggap 'berhantu' berikutan beberapa siri
kemalangan maut yang berlaku sejak kebelakangan ini.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya
Malaysia (Miros) Prof Dr Wong Shaw Voon berkata berdasarkan penilaian awal yang
dilaksanakan pada 22 Okt, struktur dan aspek keselamatan lebuh raya itu berada
dalam keadaan baik.
"Terdapat beberapa kawasan mendap dan permukaan jalan
tidak rata namun pada pengamatan saya, ia tidak mengundang masalah kepada
pengguna jika mereka dapat menguruskan pemanduan dengan kelajuan bersesuaian.
"Jika dilihat dari segi permukaan beberapa jalan yang
tidak rata itu, ia secara tidak langsung memaksa pemandu memperlahankan kereta
dan bukannya memandu dengan laju," katanya ketika ditemui Bernama.
Miros, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Jabatan Kerja
Raya(JKR), melakukan lawatan ke lebuh raya berkenaan bagi mengenal pasti punca
kemalangan.
Dalam lawatan sehari itu, pihak JKR turut melakukan beberapa
penambahbaikan seperti menampal permukaan jalan yang tidak rata untuk
keselesaan pengguna.
Wong berkata hasil penilaian awal yang dilakukan di LPT2 itu
dijangka diketahui minggu hadapan.
Pada 14 Okt lalu, enam sekeluarga maut selepas kenderaan
yang mereka naiki terperosok di bawah sebuah treler yang berhenti di lorong
kecemasan di Km258.8, manakala tiga hari kemudian, dua beranak maut selepas
kereta yang dinaiki terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di Km273.9.
Dua hari selepas itu (19 Okt), seorang pengawal keselamatan
maut dan rakannya cedera parah selepas skuter yang dinaiki mereka hilang
kawalan di Km317.9.
Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia, sehingga 16 Okt
sebanyak 82 kes kematian direkodkan di sepanjang lebuh raya itu melibatkan
1,989 kes kemalangan sejak ia dibuka Januari 2011.
Wong tidak menolak kemungkinan faktor jalan lurus yang
panjang menyebabkan pemanduan membosankan menyumbang kepada kejadian kemalangan
di LPT2.
"Faktor ini juga dipercayai penyebab yang merangsang pemandu
memandu melebihi had laju ditetapkan, selain faktor persekitaran membosankan
juga menyebabkan pemandu mudah mengantuk," katanya.
Justeru, Wong menyarankan pengguna merancang perjalanan
dengan teliti.
"Jika anda berasa letih mahupun tidak sihat, ambil ubat
dan berehat di kawasan rawat dan rehat yang disediakan dan bukannya meneruskan
pemanduan.
"Saya juga merasakan khidmat pemandu kedua penting
sekiranya pemandu utama berasa letih bagi mengelak sebarang kejadian tidak
diingini berlaku," katanya.
Beliau turut menasihati pengguna memastikan kenderaan berada
dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan.
-- BERNAMA
0 Comments