Microsoft Malaysia akan terus bekerjasama dengan kerajaan
Malaysia untuk menjadi saluran menjayakan usaha Malaysia menjadi negara
digital, kata Pengarah Urusannya, K Raman.
"Sebagai pemboleh teknologi, kami melihat kepentingan
untuk lebih berhubung, negara digital, bermula dengan keterbukaan dan
kerjasama, dan didorong oleh penyertaan, inovasi dan pertumbuhan," katanya
dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang
juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2016 bertemakan
"Mensejahterakan Kehidupan Rakyat", mengumumkan peruntukan sebanyak
RM1.2 bilion untuk meningkatkan kelajuan Internet di kawasan luar bandar
daripada 5Mbps kepada 20Mbps.
Microsoft Malaysia juga menyatakan sokongan kepada langkah
untuk merapatkan jurang digital dalam negara, selaras dengan usaha Malaysia ke
arah menjadi negara maju.
"Bajet 2016 adalah satu lagi langkah ke hadapan dalam
membuka jalan bagi Malaysia menjadi sebuah negara berasaskan pengetahuan,
berpendapatan tinggi menjelang 2020," kata Raman.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ideate Media Sdn Bhd
Zainir Aminullah berkata Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk
bergerak dari negara pengeluaran ke arah industri pembangunan kandungan kreatif
dalam cara yang bersepadu, dari penjanaan idea kepada pengeluaran dan
pengkomersilan.
"Kita perlu menggalakkan pemilikan hak harta intelek
(IP) tempatan dan bergerak melangkaui menjadi hab pengeluaran penyumberan
luar," katanya sambil menambah ini bukan sahaja akan menyediakan lebih
banyak peluang kepada peserta tempatan tetapi juga meningkatkan keupayaan untuk
meluaskan eksport
kandungan buatan Malaysia dan memacu persekitaran pembiayaan
yang berterusan," katanya.
Sumber: Astro Awani
0 Comments