Ternakan lokan di Sungai Linggi, Alor Gajah di sini akan
dijadikan tarikan baharu di kawasan tersebut bagi meningkatkan lagi kedatangan
pelancong ke negeri ini.
Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas
Ermieyati Samsudin berkata pihaknya bersama kerajaan negeri akan membantu
pengusaha ternakan lokan di kawasan tersebut dengan meneroka potensi dan
peluang dalam perusahaan tersebut.
"Produk lokan ini sudah sedia diusahakan namun ia perlu
dibantu untuk dikomersial serta disokong dengan kemudahan sepatutnya daripada
pihak-pihak berkaitan supaya hasilnya dapat ditingkatkan dan dipelbagaikan
seterusnya memberi pulangan ekonomi kepada pengusahanya.
"Kerajaan turut berhasrat untuk mewujudkan pusat
penyelidikan lokan bagi menjalankan kajian dan pembangunan mengenai hidupan
berkenaan agar potensinya dapat dikembangkan lagi ke peringkat lebih tinggi
dalam tempoh dua tahun dari sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan
program Sambutan Aidiladha Amanah Ikhtiar Malaysia di Masjid At-Taqwa, Kampung
Paya Lebar, Masjid Tanah di sini hari ini.
Mas Ermieyati yang juga Anggota Parlimen Masjid Tanah
berkata pihaknya merancang untuk memperbanyakkan lagi kawasan pelancongan di
kawasan Masjid Tanah dalam tempoh lima tahun lagi di samping mengkomersialkan
segala produk pelancongan sedia ada di kawasan tersebut.
"Masjid Tanah mempunyai banyak aset pelancongan
termasuklah Sungai Linggi yang mana ia perlu dipelihara sebaiknya kerana mampu
menjadi sumber ekonomi kepada penduduk setempat selain dapat menarik kunjungan
pelancong dari dalam dan luar negara," katanya.
Sumber: Astro Awani
0 Comments