Ad Code

Laporan awal MH370 dikeluarkan hari ini

Bluefin 21 Artemis autonomous underwater vehicle (AUV)

Laporan awal MH370, yang turut mengandungi rakaman audio perbualan antara kokpit dan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur serta senarai kargo, dikeluarkan hari ini oleh Kementerian Pengangkutan.

Laporan itu turut memuatkan peta laluan penerbangan, pelan tempat duduk penumpang selain dokumen tambahan yang memberi maklumat lanjut berkaitan tindakan yang diambil antara 1.38 pagi dan 6.14 pagi pada 8 Mac, hari MH370 dilaporkan hilang.

Dalam satu kenyataan, pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata laporan awal itu dikeluarkan berdasarkan kepada panduan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak -- bahawa selagi maklumat tertentu yang dikeluarkan itu tidak menghalang penyiasatan atau operasi pencarian -- atas nama keterbukaan dan ketelusan, maklumat itu seharusnya diumumkan.

Minggu lepas Najib melantik sepasukan pakar dalaman untuk menyemak semula semua maklumat yang dimiliki kerajaan Malaysia berkaitan MH370, dengan matlamat untuk mengeluarkan seberapa banyak maklumat yang boleh kepada umum, katanya.

Najib, ketika diwawancara oleh pakar penerbangan stesen penyiaran CNN, Richard Quest minggu lepas, berkata Malaysia bersedia mengeluarkan laporan awal MH370 minggu ini.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, berkata pasukan dalaman itu telahpun memuktamadkan semakan semula, dan berikutan itu maklumat berkaitan MH370 dikeluarkan yang turut mengandungi rakaman audio dan laluan penerbangan.

Beliau berkata radar tentera Malaysia ada mengesan sebuah pesawat yang berpatah balik, dari arah barat, merentasi Semenanjung Malaysia pada pagi 8 Mac.

"Pesawat itu dikategorikan oleh operator radar sebagai tidak membahayakan, oleh itu tiada tindakan lanjut diambil pada masa itu," katanya.

Beliau berkata data radar disemak semula secara 'playback' kira-kira 8.30 pagi hari sama dan maklumat itu dihantar ke bilik operasi Tentera Udara kira-kira 9 pagi.

Hasil perbincangan lanjut dengan pegawai peringkat tertinggi, Hishammuddin menerima maklumat daripada pihak tentera kira-kira 10.30 pagi tentang kemungkinan pesawat itu berpatah balik.

Beliau kemudian memaklumkan perkara itu kepada perdana menteri yang segera mengarahkan operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan di Selat Melaka, bersekali dengan operasi di Laut China Selatan.

Hishammuddin berkata KD Mahameru, kapal pemusnah periuk api dan KD Laksamana Muhamad Amin, Kapal Corvette Tentera Laut Diraja Malaysia, telahpun bersedia di Selat Melaka untuk melakukan tugas rondaan.

"Mereka segera dipertanggungjawab untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat. Sebuah pesawat tentera kemudian dihantar untuk menyertai kedua-dua kapal itu di Selat Melaka pada 10.54 pagi dalam misi pencarian MH370," katanya.

Penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada paparan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

-- BERNAMA

Post a Comment

0 Comments

Ad Code