Ad Code

MB Selangor akan umumkan penarikbalikan catuan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya

Catuan air di Selangor dan Kuala Lumpur
Catuan air ditarik balik mulai hari ini

Pelan catuan air peringkat 1, 2, 3 dan 4 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bermula pada 27 Februari lalu akan ditarik balik berkuatkuasa esok.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ismail Kasim, berkata mulai esok, pengguna air di kawasan terbabit dapat menikmati bekalan air seperti biasa.

Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dijadualkan mengumumkan perkara itu di Shah Alam petang ini.

Keputusan menarik balik pelan catuan air itu disahkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi menerusi satu surat rasmi bertarikh 29 April 2014.

Dalam surat itu, Mohammed Khusrin menyatakan perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Air Negeri Selangor Mengenai Catuan Bekalan Air yang dipengerusikan oleh Menteri Besar kelmarin.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Setiausaha Kanan Kementerian Teknologi Hijau dan Air, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), wakil daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor serta wakil Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Puncak Niaga Sdb Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS).

"Walaupun paras Empangan Sungai Selangor masih belum mencapai 50 peratus, namun berdasarkan kepada pelan kontigensi yang disediakan dan dengan terdapatnya lebihan air mentah di Sungai Selangor berikutan hujan yang turun beberapa hari ini, kerajaan negeri bersedia supaya pelan catuan air ditarik balik berkuatkuasa 1 Mei 2014," katanya.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sebelum ini berkata, catuan tidak akan ditarik balik sehingga paras air di Empangan Sungai Selangor melebihi 55 peratus.

Bagaimanapun Khalid dikatakan membuat keputusan drastik dengan berharap paras empangan – kini 40.2 peratus – akan terus naik dengan bantuan pam bertekanan tinggi dan hujan sejak minggu lalu berterusan.

Mesyuarat exco minggu lalu meluluskan peruntukan RM10 juta bagi melicinkan operasi itu.

Jika gagal, bekalan yang ada sekarang hanya mampu bertahan 29 hari dan bakal menjurus kepada krisis yang lebih serius.

Empangan Sungai Selangor membekalkan 60 peratus keperluan air ke Lembah Klang.

Post a Comment

0 Comments

Ad Code