Ad Code

Chong Wei mahukan Misbun Ramdan dalam skuad Piala Thomas

Skuad Piala Thomas
Misbun Ramdan

Pemain badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei berharap slot ter­akhir pemain perseorangan lelaki negara untuk ke Piala Thomas 2014 menjadi milik pemain bebas, Misbun Ramdan Misbun, walaupun anak kepada bekas jurulatihnya itu, tewas kepada Goh Soon Huat pada sesi pemilihan akhir semalam.

Chong Wei memiliki alasannya yang tersendiri mengapa dia memilih Ramdan di sebalik kekalahan pemain berusia 23 tahun itu kepada pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Soon Huat 21-19, 21-15 dalam ujian di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Kapten skuad kebangsaan itu berkata, sebagai pemain paling se­nior, dia memilih pengalaman yang mana kelebihan tersebut ada pada Ramdan yang dipercayai lebih layak menggalas tanggungjawab berat sebagai pemain perseorangan keempat pada kejohanan penting seperti Piala Thomas yang akan berlangsung di New Delhi, India pada 18-25 Mei.

“Bagaimanapun, semua ke­pu­tusan tetap terletak di tangan BAM yang akan membuat pemi­li­han tersebut dan saya yakin apa sahaja keputusan mereka, ia dilakukan untuk kepentingan skuad kebangsaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Ma­laysia Purple League yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di sini semalam.

Menurut Chong Wei, Ramdan memiliki pengalaman yang lebih berbanding Soon Huat jika penampilan di pentas antarabangsa turut diambil kira kerana pemain itu telah pun memena­ngi beberapa pertandingan di luar negara.

Jelasnya, dia menyedari Soon Huat juga semakin menunjukkan peningkatan sejak ke­belakangan ini dan buktinya dia mampu menewaskan Ramdan semalam, tetapi katanya, situasi dalam Piala Thomas berbeza.

“Saya rasa kita kena bagi dia (Ramdan) peluang, tetapi saya juga yakin BAM akan buat yang terbaik untuk Piala Thomas," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden BAM, Datuk Norza Zakaria ketika diajukan pertanyaan sama ada tempat Soon Huat sudah pun terjamin, berkata keputusan masih belum muktamad kerana BAM hanya akan berbuat demikian pada mesyuarat majlis Sabtu ini.

Bagaimanapun, beliau mene­gaskan, kriteria yang turut diambil kira BAM bukan sahaja pe­ngalaman, tetapi badan induk itu juga menimbangkan peluang memberikan pendedahan kepa­da pemain pelapis seperti Soon Huat.

Sumber: Utusan malaysia

Post a Comment

0 Comments

Ad Code