Ad Code

Selangor sedia bas percuma, kekal cukai kediaman ringankan bebanan rakyat

Selangor sedia bas percuma
Tan Sri Khalid Ibrahim
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri akan menyediakan perkhidmatan bas percuma, mengekalkan cukai premis kediaman selain menyediakan rumah mampu milik dan menambah peruntukan beberapa program dan skim yang sedia ada, dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bagi menghadapi tahun 2014.

Beliau berkata, biarpun Selangor mempunyai kuasa terhad dalam menentukan harga barangan keperluan dan perkhidmatan, itu tidak bermakna kerajaan negeri hanya membiarkan keluhan rakyat mengenai kenaikan harga barang dan perkhidmatan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Tambahnya, peluang sama rata juga diberikan kepada seluruh rakyat yang menetap di Selangor bagi menikmati hasil negeri tanpa mengambil kira keturunan atau kedudukan .

"Saya memberi jaminan bahawa sejak Pakatan Rakyat menerajui kerajaan Negeri Selangor pada Mac 2008, kita tidak mengamalkan fahaman populis, sosialis dan sebagainya.

"Sebaliknya program-program kebajikan dalam dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor adalah berterusan dan diterima baik oleh majoriti rakyat negeri ini," kata Khalid dalam satu kenyataan sempena Tahun Baru. Selain itu, Khalid berkata kerajaan Selangor memahami bebanan rakyatnya yang khuatir kenaikan barang dan perkhidmatan seperti tol dan kadar elektrik boleh menyebabkan harga kediaman rumah mampu milik menjadi mahal.

Dalam perkembangan lain pendakwah terkenal Zaharuddin Abd Rahman (gambar) mencadangkan bantuan permulaan persekolahan oleh kerajaan negeri Selangor sebanyak RM200 direalisasikan walaupun asalnya ia adalah rekaan pihak tertentu semata-mata.

Menulis di lelaman Facebooknya, Zaharuddin berkata alangkah bagusnya jika ia berita benar kerana "kerajaan negeri Selangor sudah mampu menjana pendapatan dan simpanan yang besar".

Sebelum ini, pesanan ringkas (SMS) tersebar meminta orang ramai ke pusat-pusat khidmat kerajaan negeri Selangor untuk menuntut baucer permulaan persekolahan.

Ekoran itu, kerajaan negeri mengeluarkan kenyataan ia adalah SMS palsu kerana kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan arahan seperti itu.

Zaharudin berkata seorang ayah yang berbelanja untuk ahli keluarganya adalah sedekah berpahala dan sangat terpuji sebagaimana disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Sumber: Yahoo News Malaysia


Post a Comment

0 Comments

Ad Code