Shah Alam: Polis semalam mengesahkan seorang daripada 15 pengikut ajaran Tuhan Harun yang ditahan mereka adalah individu yang menembak mati Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Rafli Abdul Malek, bulan lalu.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata individu itu dapat dikenal pasti selepas siasatan terhadap semua suspek yang ditahan.

Saya sahkan seorang daripada suspek ditahan adalah individu yang melepaskan tembakan terhadap mangsa. Namun, untuk maklumat lanjut, biar kita tunggu sewaktu perbicaraan nanti, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Polis Bantuan Malaysia Ke-25, di sini, semalam.

Abdul Khalid berkata, pistol jenis Smith & Wesson yang ditemui dalam kereta seorang daripada suspek yang ditahan di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur adalah pistol sama yang digunakan untuk menembak Ahmad Rafli.

Hasil ujian balistik

Ujian balistik yang dijalankan makmal senjata api Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pistol itu digunakan bagi menembak mati mangsa, katanya.

Lima belas pengikut Tuhan Harun ditahan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur antara 29 November dan 2 Disember lalu. Turut ditahan ketua kumpulan itu, Harun Mat Saad yang ditangkap di Tangkak, Johor, pada 20 November lalu.

Polis kini memburu lapan lagi suspek kes berkenaan.

Sumber: Berita Harian