Gambar hiasan |
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak menolak kemungkinan
mengesan lebih banyak kenderaan klon melalui operasi besar-besaran yang sedang
dijalankan jabatan itu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata operasi
berkenaan dilaksanakan di setiap negeri dan siasatan menyeluruh turut dilakukan
bagi mengesan individu yang terlibat dalam sindiket berkenaan.
"Kita sedang menggerakkan operasi di seluruh negara,
kemungkinan lebih banyak kenderaan klon akan disita tetapi ia bergantung pada
siasatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari JPJ
Peringkat Negeri Melaka di Bukit Katil di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan terkini
berhubung 153 buah kenderaan klon yang disita dalam operasi besar-besaran hasil
kerjasama dua agensi itu sejak lima bulan lepas.
Dua hari lepas, beliau berkata semua kenderaan klon yang
terdiri daripada kereta mewah antaranya Mini Cooper, Lexus, BMW dan Mazda
diseludup dari Singapura untuk dijual di negara ini pada harga antara RM20,000
hingga RM50,000 sebuah.
Ismail berkata semua kenderaan yang disita itu dianggarkan
bernilai lebih RM13 juta diseludup serta diklon menggunakan nombor pendaftaran
yang sama dengan kenderaan asal di Malaysia dan yang membezakannya hanyalah
nombor chasis dan nombor enjin.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pemilik kereta
termasuk kereta import diingatkan agar mengambil perhatian terhadap
penguatkuasaan peraturan cermin gelap yang baharu bermula 1 Mei depan bagi
mengelak tindakan saman.
Peraturan baharu itu menetapkan kadar ketelusan cahaya
nampak (VLT) bagi cermin belakang dan sisi penumpang belakang dikurangkan
daripada 50 peratus kepada 30 peratus, manakala kadar VLT bagi cermin hadapan
dan sisi pemandu dan penumpang hadapan pula masing-masing kekal pada kadar 70
peratus dan 50 peratus.
Ismail menjelaskan peraturan baharu itu juga bertujuan
membantu agensi penguatkuasa terutama Polis Diraja Malaysia dan JPJ menguatkuasakan
peraturan tidak memakai tali pinggang kaledar dan menggunakan telefon bimbit
ketika memandu.
"Kedua-dua kesalahan ini merupakan punca utama
menyebabkan kemalangan, kematian dan kecederaan terutama kepada pemandu yang
mana kita perlu cegah sebelum terjadi," katanya.
-- BERNAMA
0 Comments