Ad Code

perkhidmatan penyiaran televisyen terestrial digital (DTTB) di Malaysia dijangkakan dalam suku ketiga 2014


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memilih Puncak Semangat Sdn Bhd (PSSB) sebagai pembida yang berjaya untuk membina, mengendali dan menguruskan prasarana bagi perkhidmatan penyiaran televisyen terestrial digital (DTTB) di Malaysia.

PSSB mengalahkan i-Media Broadcasting Solutions Sdn Bhd dan Redtone Network Sdn Bhd untuk memenangi bida itu.

"Cadangan yang dikemukakan oleh PSSB mengatasi (pembida) yang lain dari segi strategi keseluruhan berdasarkan pelan komprehensif dan terperinci serta dilihat sebagai model perniagaan yang mampan," kata SKMM dalam satu kenyataan Rabu.

PSSB berkewajipan untuk membangunkan prasarana DTTB, yang terdiri daripada hab digital multimedia dan rangkaian pemancar televisyen digital berkuasa tinggi, sederhana dan rendah di seluruh negara yang berkeupayaan membawa hingga 45 saluran TV digital definisi standard atau 15 saluran TV digital definisi tinggi, sebagai permulaan.

Penghijrahan peringkat permulaan kepada digital adalah bagi stesen yang dimiliki kerajaan dan swasta iaitu TV1, TV2, TV3, ntv7, 8TV, TV9, TV Alhijrah dan Bernama TV, demikian menurut kenyataan itu.

"Kepelbagaian saluran akan ditentukan secara komersial antara pihak penyedia prasarana bersepadu bersama (CIIP) dan penyiar. Saluran radio sedia ada juga boleh dikendalikan melalui platform DTTB," katanya.

Pelancaran pertama perkhidmatan DTTB dijangkakan dalam suku ketiga 2014, bermula dengan beberapa kawasan percubaan.

Penyiaran analog akan ditamatkan apabila platform digital dilancarkan sepenuhnya.

"Ini seterusnya akan membolehkan dividen digital diraih dan dengan itu membuka jalan bagi lebih banyak perkhidmatan jalur lebar mudah alih berkelajuan tinggi dalam jalur 700 MHz," jelas kenyataan itu.

-- BERNAMA

Post a Comment

0 Comments

Ad Code