Ad Code

Sebanyak 41 Projek Perumahan Rakyat Di Bina Tahun Depan

PPR Sungai Putat

Sebanyak 41 Projek Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan kos RM578 juta bakal dibina tahun depan di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohd Sadique.

Justeru, beliau meminta semua kerajaan negeri terutamanya pembangkang memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan persekutuan khususnya dalam menyediakan lokasi yang sesuai bagi pelaksanaan projek itu demi memberikan kemudahan terbaik untuk rakyat.

Halimah berkata kementeriannya sebelum ini berdepan kesukaran untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri pimpinan pembangkang kerana meletakkan syarat tambahan dan bertindak melengah-lengahkan projek itu sedangkan kos pembinaan projek PPR ditanggung sepenuhnya kerajaan persekutuan.

"Kerajaan negeri hanya perlu menyediakan tanah yang sesuai untuk projek itu dan tidak memberikan tanah yang terlalu jauh dari bandar ataupun langsung tidak sesuai untuk diduduki," katanya kepada pemberita pada Majlis Pecah Tanah PPR Ayer Panas di Bemban di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan turut hadir Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

PPR Ayer Panas dibina dengan kos RM80 juta bakal menempatkan 500 unit rumah tiga bilik dengan dua bilik air berkeluasan 700 kaki persegi setiap satu dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2016.

Halimah berkata kerajaan negeri perlu mencontohi kerajaan negeri Melaka yang memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan persekutuan dalam melaksanakan projek PPR itu dan memberikan tanah di kawasan perumahan mewah dan sederhana untuk projek itu.

"Saya bagaikan tidak percaya tanah ini (di Ayer Panas) akan dibangunkan PPR kerana tanah ini bernilai amat tinggi, terletak sebelah perumahan mewah, langkah meletakkan PPR dalam kawasan perumahan mewah membuktikan kerajaan negeri tidak membezakan rakyat yang kaya dan miskin," katanya.

Beliau berkata setiap unit PPR Ayer Panas itu dibina dengan kos kira-kira RM160,000 dibiayai sepenuhnya kerajaan persekutuan dan hanya dijual kepada rakyat berpendapatan kurang RM2,500 dengan harga kurang daripada RM35,000.

Idris berkata PPR Ayer Panas merupakan antara projek PPR terbaharu di Melaka dengan PPR Sungai Putat dengan 336 unit telah siap tahun lepas dan PPR Paya Rumput dengan 600 unit bakal siap pada September 2016.

"Kita juga sedang memohon PPR di tujuh lokasi lain iaitu Lipang Kajang 500 unit, Pulai 400 unit, Kampung Tun Kudu 500 unit, Ayer Molek Darat 400 unit, Bukit Rambai 400 unit, Sungai Putat Fasa Kedua 400 unit dan Sungai Udang 600 unit," katanya.

-- BERNAMA


Post a Comment

0 Comments

Ad Code